Wednesday, June 18, 2008

PENA MUFTI PERLIS

Tulisan mufti ini agak panjang tapi merupakan komen yang sangat bagus kita
renungi

Agama bukan mengkhayalkan orang miskin

Saya tertarik apabila membaca kisah al-Imam

al-Nawawi (631-676H) yang
diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa
bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi
musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya
baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak
digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan
fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap
tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk
kepentingan negara juga. Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa
beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya
seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan
kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau

memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang
daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan
setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu
semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan
hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitulmal
sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan
untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong
jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan
nabi-Nya S.A.W (lihat: 'Abd al-Ghani al-Daqar, al- Imam al-Nawawi,
144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini
banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan
memperkatakan tentang kewajipan berjimat

cermat. Maka ustaz, ustazah dan
penceramah pun atas permintaan penaja yang membayar harga ceramah akan
bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.
Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari
cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan
jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis seperti
seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah, bercerita kepada
makcik-makcik yang khusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir
'nasi lemaknya'. Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana
dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir
petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk penganjur, YB-YB hanya menggunakan
kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc.

Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa

dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas. Maka insaflah makcik dan pakcik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat.

Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada
yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang
kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah
'ceroi' akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka. Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum 'dijakimkan' , "Apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang
lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?" Sebelum harga minyak
naik, telah sekian lama mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup pada kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.

Pembaziran

Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut
perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan.
Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya,
memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah
mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan
mereka yang membazirkan. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya):
"Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah
saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada
Tuhannya". (Surah al-Isra: 26-27). Demikianlah Allah persaudarakan
pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita
yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan
setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun,
disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan
tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun. Maka, yang patut
mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang
keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan
rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka.
Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan

dengan syaitan.
Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan
kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran
syaitan.

Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita
hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita
ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir,
maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk mengenakan si miskin
yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak
dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?
Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang
menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana,
kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri? Apakah
wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau
menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu
meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang
dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh
'orang biasa'. Apakah patut pada saat yang sebegini, ada istana
atau
kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut
orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert
yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka? Wang
itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat. Apakah dalam masa yang sebegini
mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan
'berhiburan' dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh
menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka? Pembaziran

sebegini lebih
rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang
dibelanjakan.

Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi,
jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk
dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan
bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak
dilakukan, ulama bukan burung kakak tua. Saya mengambil risiko menulis hal
ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala- galanya.
Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini.
Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma'ruf dan al-An-
Nahy 'an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan
darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di
Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin 'Umar bin al-Khattab.
Dikenali dengan 'Am al- Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu
disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang
bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H
selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan
harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping
kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan
pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa 'Umar bin
al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan
daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan
di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu
namun dengan harga yang agak tinggi. 'Umar enggan makan bahkan
berkata:
"Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan
kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami
keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?"
(Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta
lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu dicedok masakan itu
untuk dihidangkan juga buat 'Umar. Tiba-tiba yang dicedok itu bahagian
belakang unta dan hatinya. Lalu 'Umar bertanya: "Dari mana diperoleh
ini?".
Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata 'Umar: "Oh! Alangkah
buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik
lalu aku berikan rakyat makan yang sisa" (Ibn Sa'd, al-Tabaqat
al-Kubra,
3/312, Beirut: Dar Sadir). Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau
sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri
yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta

negara atau negeri
sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras,
helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api
dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara
dan negeri itu dan ini.

Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui
apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara
tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah
keji sikap yang sedemikian rupa. Saya kadang- kala begitu hairan apabila
seseorang dianggap 'berjiwa rakyat', hanya kerana makan nasi yang
dijamu
oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa
minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan
berjiwa rakyat? Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai.

Orang seperti 'Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan Rasu-lNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.

Tanggungjawab

Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah
menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang
tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara
pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan
pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion
ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.
Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekah kepada pihak
yang menguruskan zakat? Mengapa program televisyen lebih menjumpai si
miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki
dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak?
Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara
yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan
sekarang? Pada masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang
memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan
sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan
tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta
dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan
zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu
bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus,
bijaksana dan bertanggungjawab.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara
yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan
menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan
disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk
semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang
bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka
sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai
masalah yang sebenar.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

No comments: