Tuesday, May 20, 2008

Reminder!!!

Adalah seorang hamba Allah ni, dia pergilah bersiar-siar di tepi hutan. Sedang dia menghirup udara rimba yg segar tu, tetiba dia terdengar satu bunyi... jeng!jeng!jeng!... bunyi....aauuummmmm!!!!! Bunyi harimau yg kelaparan dan hanya menunggu mangsanya saja. Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri. Harimau tu kejar hamba Allah ni. Sebab dia dah lapar sangat ni.

Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi.

Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan mata nya. Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun terjunlah ke dalam perigi. Perigi tu ada tali dan sebuah timba. Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu. Tali tu pendek jer. Jadi dia bergantungan di tengah-tengah
perigi.

Di mulut perigi, harimau yg lapar tu menunggunya. Si hamba Allah ni pun berfikirlah macam mana nak menyelamatkan diri, sambil berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan. Tengah dok berfikir camner nak selamat, tetiba dengar bunyi kocakan air di bawah perigi.

Aaaaa!!!!... Ya Allah..... lagilah seram dibuatnya. Nak tahu ada apa kat bawah tu? Ada 2 ekor buaya yg kelaparan. Apalah nasib. Dah jatuh ditimpa tangga. lagilah takut si hamba Allah ni. Atas ada harimau bawah ada buaya. Semakin risau dan takut.

Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar, tetiba keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi, naik ke atas ikut tali yg hamba Allah tu bergayut. Sampai kat atas tikus tu gigit tali tu pulak.

Cis, kurang ajar punya tikus. Alahhhh.... cam ner ni. Pas tu, keluar lagi seekor tikus yg berwarna hitam. Naik mengikut tali tadi, cit!cit! cit!cit! sampai kat atas.Tikus hitam ni pun gigit juga tali tu.

Cis, lagi satu. Macam mana aku nak buat ni.... habislah jadi mangsa buaya . Berfikir lagi. Kalau naik kat atas makan dek harimau. Kalau tunggutali putus dan jatuh ke bawah makan dek buaya. Macam mana nih... Sedang hamba Allah tu berfikir cam ner nak selamatkan dirinya, tetiba.... terdengar satu bunyi.... uuuuuuuuuuuuu... bunyi lebah bawa madu. Si hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat lebah yg sedang bawa madu.

Tetiba setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut si hamba Allah ni tadi. Punyalah nikmat sehingga tidak terkata. Hamba Allah tu kata, "Fuh manisnya madu ni , tak pernah ku rasa manisnya ni.


Sedapnya. Subhanallah sungguh sedap ni." Kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau yg sedang
menantinya di mulut perigi dan buaya yg menantinya di bawah.

Kalau semua nak tahu , si Hamba Allah itu adalah kita semua. Harimau yg mengejar tu adalah maut kita, ajal memang sentiasa mengejar kita, so beringat-ingatlah. 2 ekor buaya itu adalah malaikat Munkar Dan Nakir yg menanti kita di alam kubur nanti. Tali yg tempat si hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita kalau pendek talinya maka panjanglah umur kita dan kalau panjang talinya maka pendeklah umur kita.

Tikus Putih dan Hitam tu adalah dunia kita siang dan juga malam yang sentiasa menghakis umur kita.Kan tikus tu gigit tali tu. Madu..., madu yg jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia. Bayangkan setitik saja madu tu jatuh ke dalam mulutnya,dia lupa pada harimau dan buaya tu. Macam kitalah bila dapat nikmat sikit lupa pada Allah. Waktu susah baru la nak ingat Allah.

Astaghfirullah...

Mukmin Sejati


Mukmin Sejati Bercirikan Sifat Orang Beriman. Sebagaimana di dalam Al Quran atau Hadith, banyak diungkapkan tentang sifat dan ciri-ciri orang yang beriman di antaranya :

Ciri Pertama

Seorang mukmin sejati mempunyai iman yang teguh dan kuat, tidak mudah bergoyang atau rapuh, mempunyai cita-cita luhur yang tidak kunjung padam sentiasa mengerjakan kebaikan, selalu hidup di dalam perjuangan, menjauhkan diri daripada kejahatan, sabar di dalam menghadapi cubaan dan menunjukkan keperibadian yang baik. Dia tidak gugup dan hilang akal bila menghadapi sesuatu yang buruk, sebaliknya dia tidak lupa daratan dan hilang perseimbangan dikala memperolehi nikmat. Apabila ditimpa musibah dia bersikap sabar. Di dalam kehidupannya sentiasa terpancar ketenangan dan kedamaian. Kehidupan yang bahagia.Hal inilah yang digambarkan oleh Allah di dalam Al Quran:

"Seseiapa yang melakukan perbuatan yang baik, lelaki atau perempuan di dalam keadaan dia beriman, nescaya Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik (Tayyibah) dan Kami berikan kepadanya balasan (pahala) yang lebih beik daripada kebaikan yang mereka kerjakan."

(Surah An Nahli: 97)

Kehidupan Toyyibah yang dimaksudkan adalah tersimpul di dalamnya segala kenikmatan dan kebahagian, baik yang bersifat jasmaniah atau rohaniah, bukan sahaja di dalam kehidupan di dunia ini tetapi juga kehidupan di akhirat kelak.

Ciri Kedua

Seorang mukmin sejati ialah seorang yang sentiasa membuatkan menafaat baik untuk dirinya sendiri mahu pun terhadap orang lain. Islam telah meletakkan beberapa larangan terhadap perbuatan yang merosak dan merugikan, baik terhadap peribadi atau masyarakat. Umpamanya berzina, berjudi, minum arak dan berbagai perkara yang merosakkan diri dan masyarakat. Orang lemah imannya tidak mampu mengendalikan dirinya terhadap larangan tersebut, walaupun dia menyedari akan akibat buruk yang akan ditempuh. Berbeza halnya dengan orang mukmin yang kuat imannya. Dia sentiasa berusaha menghindarkan perbuatan yang merugi dan merosakkan dirinya dan orang lain. Rasulullah s.a.w bersabda

"Sebaik-baik manusia itu ialah mereka yang memberi menafaat kepada manusia yang lain."

Ciri ketiga

Orang mukmin sejati ialah mereka yang hanya meminta pertolongan dari Allah di dalam menghadapi sesuatu kesulitan. Kita dapati perbezaan orang yang lemah dan orang yang kuat imannya. Orang yang lemah imannya selalu gelisah, gugup, hilang pegangan dan pegangan. Dia mencari pertolongan kepada sesiapa sahaja. Yang dianggapnya dapat menringankan kesulitan dan konflik jiwa yang dideritainya itu, walaupun pertolongan itu hanya sementara sahaja di dunia yang fana ini. Akan tetapi mukmin yang sejati, hanyalah yang meminta pertolongan dengan Allah. Ia memohon terus dengan Allah, tanpa ada perantaraan orang lain. Sebab dia yakin kuasa yang menentukan pada saat yang terakhir ialah Allah s.w.t. tanpa mengabaikan ikhtiar dan usaha dari manusia itu sendiri.

"Kepada Engkaulah (Allah) kami menyembah dan kepada Engkaulah kami memohon perlindungan."

(Al Fatihah: 5)

Ciri Keempat

Sebagai orang mukmin yang sejati, tidak bersikap lemah, yang dimaksudkan disini bukan sahaja lemah fizikal atau tubuh badan tetapi akal dan jiwa terutama sekali rohaniah. Jiwa atau semangat yang kental yang tidak dapat dipatahkan sekalipun jiwanya terancam dan terkorban. Orang yang beriman sentiasa mempunyai pengharapan, kegembiraan dan optimis. Dia tidak mudah patah hati, tidak mudah berhenti berjuang atau menyerah kalah. Kepercayaan yang padu di dalam jiwanya bahawa setiap perbuatan yang baik akan diberi pahala kelak di dalam menanamkan semangat pengharapan kepadanya dan menjadikan pegangan baginya, bahawa setiap usaha dan perjuangan akan berhasil. Dia selalu berpegang kepada petunjuk Ilahi sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Jangan putus harapan kepada kurniaan Allah, sesungguhnya yang berputus harapan kepada kurniaan Allah itu hanyalah orang-orang yang kafir."

(Yusuf: 87)

Ciri Kelima

Orang yang beriman tidak menyesali keadaan yang ada pada dirinya. Dalam kehidupan ini, manusia silih berganti dengan kesenangan dan kesusahan, kekayaan dan kemiskinan, kemenangan dan kekalahan, berjaya atau gagal. Di waktu bertemu dengan kesusahan dan kemiskinan, kekalahan dan kekecewaan, janganlah mengeluh menyesali keadaan. Hendaklah sentiasa yakin dan faham bahawa setiap perbuatan dan hal itu daripada Allah s.w.t yang tentunya mempunyai hikmah dan kebaikan yang kita tidak tahu.

Berkata ulama sufi:

"Keputusan Allah telah putus dan hal telah terjadi. Oleh itu rehatkanlah hatimu dari perkataan andaikata dan kalau."

Firman Allah:

"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu."

(Al Baqarah: 216)